AO3 News

Post Header

Published:
2017-10-14 18:24:56 UTC
Original:
On Archive of Our Own Mobile Apps
Tags:

Sepanduk daripada Diane dengan garis bentuk lelaki dan perempuan bercakap dengan awan teks, salah satunya mempunyai logo OTW dengan yang lain ditulis ‘Pemberitahuan OTW’

Aplikasi Android Archive of Our Own – AO3 (Arkib Milik Kita) yang tidak rasmi telah dilepaskan di Google Play. Oleh sebab pelepasan ini telah membawa subjek ini kembali ke perhatian, kami ingin mengambil kesempatan ini untuk berkongsi keadaan semasa perkembangan aplikasi AO3 rasmi.

"Pernahkah anda berfikir tentang membuat sesuatu aplikasi untuk OTW?" adalah salah satu soalan yang paling kerap ditanya, tetapi dalam pembangunan aplikasi mudah alih, adalah mustahil untuk hanya wujudnya ‘satu’ aplikasi. Aplikasi perlu dibina untuk platform mudah alih yang berbeza — tiga yang teratas adalah Android, iOS, dan Windows Mobile — dan untuk pelbagai versi platform tersebut yang masih digunakan.

Sebelum kami dapat mencipta sebuah aplikasi yang membolehkan anda untuk melakukan lebih daripada membaca karya yang tidak terhad, kami perlulah membangunkan sebuah API awam, terutamanya untuk pelan tindakan kita, tetapi hanya selepas beberapa keluaran utama lagi. Kemudian, kami perlu membina user interface (antara muka pengguna) yang berbeza dan responsif untuk kedua-dua telefon dan tablet. Apa yang kelihatan seperti projek yang kecil dan mudah, berubah dengan cepat kepada sesuatu yang memerlukan banyak sumber, yang berdedikasi, dengan pelbagai kemahiran. Walaupun kami telah menyatakan pada masa lalu bahawa kami ingin melepaskan aplikasi AO3 mudah alih, sumber yang diperlukan tidak tersedia.

Coders (Pengkod) yang membangunkan AO3 semua melakukannya secara sukarela, dan memberi sebanyak mungkin masa untuk menyokong perkembangannya — tetapi masa itu terhad, dan dimakan sepenuhnya oleh kerja yang diperlukan untuk memastikan AO3 berjalan dengan lancar. Sama ada pasukan terpaksa menghabiskan masa untuk memperbaiki AO3, atau membangunkan aplikasinya — kerana malangnya tiada sukarelawan yang cukup untuk menyokong kedua-duanya.

Pembangunan awal bukan sahaja proses yang intensif terhadap sumber. Aplikasi juga perlu dikekalkan dan dikemas kini secara berterusan untuk memastikan aplikasi sentiasa berfungsi apabila versi baru bagi setiap platform dibebaskan — apatah lagi memperbaiki aplikasi untuk memasukkan ciri AO3 yang baru dan lebih baik! Selain itu, oleh kerana sebuah aplikasi memerlukan penyelenggaraan jangka panjang oleh sebuah pasukan yang berdedikasi, kos itu bukanlah sesuatu yang kami dapat membiayai melalui derma.

Tetapi sumber untuk pengekodan dan pengujian tidak mula menggambarkan apa yang perlu disalurkan untuk menyokong sebuah aplikasi! Sumber akan juga diperlukan untuk pasukan tersebut:

  • Sokongan perlu ditambahkan bilangan ahli, dilatih, dan dilengkapi untuk membantu dengan sebarang masalah teknikal yang dihadapi dalam setiap platform,
  • Pasukan Dokumentasi kami perlu menulis dan terus mengemas kini dokumen sokongan untuk aplikasi, dan
  • Pasukan Penterjemah kami perlu menterjemahkan dan sentiasa mengemas kini dokumentasi untuk membolehkan aplikasi mudah diakses bagi mereka yang tidak memahami bahasa Inggeris.

Hal ini bukan sahaja memerlukan sumber yang lebih daripada yang kami mempunyai sekarang, malah proses ini juga akan menarik ahli pasukan daripada kerja sokongan pelan tindakan kami.

Matlamat kami adalah untuk memastikan AO3 boleh didapati dan mudah diakses oleh seramai orang yang mampu. Cara terbaik untuk kami lakukannya adalah dengan menumpukan usaha kami dalam membina sebuah versi AO3 yang responsif dan berfungsi (dan berfungsi dengan baik!) untuk sebanyak mungkin peranti. Kami sentiasa berdedikasi untuk memastikan bahawa peranti semua bentuk dan saiz termasuk sekali, dan akan terus menumpukan sumber untuk meningkatkan mobile responsiveness (tahap balas mobil) dan kebolehgunaan untuk semua orang. Ini bermakna bahawa sebuah aplikasi tidak mungkin dibangunkan pada ketika ini dalam perkembangan AO3.

Sebuah amaran keselamatan sebagai pengakhiran notis ini, sekiranya aplikasi pihak ketiga atau laman web meminta maklumat log masuk AO3 anda, sila teruskan dengan berhati-hati dan sedar bahawa anda memberikan maklumat ini pada risiko anda sendiri. Walaupun tiada masalah keselamatan semasa, sila pastikan anda ubah kata laluan anda jika anda percaya bahawa akaun anda mungkin telah dikompromikan pada bila-bila masa.

Siaran berita ini diterjemahkan oleh penterjemah sukarela OTW. Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai kerja kami, lawati Laman Terjemahan di transformativeworks.org.